Wasiat

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama) sebagai suatu kewajiban atas orang-orang yang bertaqwa - surah al-baqarah 180-

Thursday, June 24, 2010

Perjalanan sistem kewangan Islam

Dunia Islam digesa bersatu
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 21 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa dunia Islam bersatu bagi membentuk Model Baru Ekonomi (MBE) supaya sektor ekonomi di kalangan semua negara terbabit dapat diperkukuhkan lagi.
Beliau berkata, usaha tersebut tidak boleh dilakukan secara bersendirian malah memerlukan satu proses kerjasama yang melangkaui rangka kerja konvensional kerana ia melibatkan sasaran untuk memberi manfaat kepada umat Islam secara keseluruhan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen Malaysia membantu merealisasikan hasrat tersebut iaitu dengan memberi sokongan sama ada dalam bentuk memberi pandangan atau memenuhi keperluan.
''Jumlah penduduk Islam kini dianggarkan antara 1.4 hingga 1.8 bilion dengan merentasi 148 negara. Jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa.
''Justeru, kita perlu berfikir melangkaui rangka kerja yang konvensional supaya negara-negara Islam dapat menjalinkan lebih kerjasama terutama dalam bidang ekonomi. Melalui cara ini ia mampu memberi manfaat kepada seluruh umat Islam,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Halal Sedunia 2010 (WHF) yang bertemakan Situasi Industri Terkini: Akses Pasaran dan Perdagangan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengasas WHF, Jumaatun Azmi.
Najib dalam pada itu berkata, industri halal merupakan satu bidang perniagaan yang cukup luas bukan sahaja di negara ini malah di peringkat global.
''Dengan jumlah penduduk Islam yang mencecah antara 1.4 bilion hingga 1.8 bilion dan dalam masa sama kuasa membeli semakin meningkat khususnya generasi muda, syarikat-syarikat berlumba-lumba mengeluarkan produk halal bagi menampung permintaan,'' katanya.
Hasil daripada perkembangan itu Najib berkata, nilai pasaran produk halal di seluruh dunia telah mencecah RM7.45 trilion (AS$2.3 trilion) dan itu tidak termasuk bidang perbankan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu 67 peratus (RM4.5 trilion) adalah makanan dan minuman diikuti farmaseutikal 22 peratus (RM1.6 trilion) dan kosmetik serta penjagaan diri RM745.2 bilion.
''Angka-angka ini adalah hasil daripada kajian yang telah dibuat oleh pihak WHF. Sebenarnya saiz industri halal jauh lebih besar daripada ini kerana ia tidak melibatkan sektor perkhidmatan.
''Sekiranya sektor ini turut diambil kira saya percaya jumlah keseluruhannya adalah amat besar sekali,'' katanya lagi.
Di dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai usaha menjadikan sistem kewangan Islam menjadi peneraju industri bank di seluruh dunia.
Beliau berkata, langkah itu perlu kerana sistem kewangan Islam mempunyai kelebihan iaitu ia tidak akan terjejas walaupun berlaku krisis ekonomi.
''Perjalanan sistem kewangan Islam seperti mana yang dilaksanakan oleh bank-bank berasaskan syariah adalah berdasarkan kepada keadaan ekonomi yang sebenar.
''Itu yang menyebabkan sistem kewangan Islam tidak menerima kesan walaupun berlaku penguncupan ekonomi baru-baru ini,'' katanya lagi.
Mengenai sistem kewangan Islam di Malaysia, Najib berkata, ia telah diasaskan 45 tahun yang lalu dan kini menjadi kekuatan kepada negara.
''Kejayaan ini adalah hasil komitmen semua pihak. Kita bersama-sama membentuk satu rangka kerja dengan turut melibatkan soal perundangan. Matlamatnya kita mahu sistem ini benar-benar terlaksana.
''Akhirnya, kita berjaya melaksanakan sistem kewangan Islam dan kita bersedia berkongsi pengalaman dengan pihak lain,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

wibiya widget